- Teguh menjaga kehormatan
- Redha menerima apa yang sedikit
- Berbuat kebaikan setiap hari
- Memelihara lidah dari perkataan sia-sia.
Semua ini untuk warga negara KPLI j-QAF 2009/2010 dan sekalian makluk di muka bumi ini....perkongsian pengalaman dan keilmuan diharap dapat mempertingkatkan kredibiliti diri dan seterusnya memartabatkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. "j_QAF TaNpA GaGaL 2010"
Saturday, June 12, 2010
Friday, June 11, 2010
Falsafah Pendidikan Islam & Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
view from my proposal
PENGENALAN
Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh meliputi segala aspek kehidupan manusia. Sebagaimana yang sedia maklum, penubuhan Baitulmal merupakan sebuah institusi yang amat penting bagi kemajuan sosial mahupun ekonomi umat Islam. Institusi Baitulmal ini bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w dan semakin berkembang dari semasa ke semasa sehingga mampu membina ketamadunan Islam yang maju dan cukup tinggi. Baitulmal bukan sekadar berperanan sebagai perbendaharaan negara atau khazanah kewangan yang memperolehi segala sumbernya dan membelanjakan harta negara tetapi ia bertindak jauh lebih penting sebagai wadah untuk menggerakkan dan mempengaruhi kestabilan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial. Oleh itu, masyarakat Islam kini mempunyai pelbagai fahaman yang berbeza-beza mengenai Baitulmal berbanding zaman mula diperkenalkan. Di Malaysia misalnya Baitulmal hanya dikenali sebagai satu daripada unit yang terletak di bawah bidang kuasa Majlis-majlis Agama Islam Negeri yang mempunyai bidang kuasa dan peranan yang amat terhad berbanding pada zaman mula-mula diperkenalkan Baitulmal yang bertindak sebagai sebuah jabatan perbendaharaan negara dan mempunyai peranan yang amat luas dan menyeluruh untuk sebuah negara Islam.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Baitulmal merupakan pusat organisasi kewangan dalam pemerintahan kerajaan Islam silam dan kini. Baitulmal yang juga memainkan peranan penting dalam struktur kewangan dan belanjawan negara. Konsep negara Islam dan penubuhan Baitulmal tidak boleh dipisahkan. Harta yang terkumpul dalam khazanah Baitulmal adalah harta negara yang dimiliki oleh semua rakyat yang tinggal dan menetap di bawah naungan kerajaan Islam.
Baitulmal mengandungi suatu konsep dan pengertian harta yang amat luas yang berdasarkan kepada iman dan takwa dengan penuh yakin bahawa hanya Allah s.w.t sahajalah Pencipta, Pentadbir dan Penguasa seluruh alam ini, manakala khalifah pula sebagai pemegang amanah bagi menguruskan harta yang terkumpul dalam khazanah Baitulmal. Institusi Baitulmal ini semakin berkembang sejak mula diperkenalkan yang mana ianya telah berjaya membuktikan dapat mengukuhkan kedudukan umat Islam dari segala aspek sama ada dari segi ekonomi mahupun dari sudut sosialnya.
Jika ditinjau di negara Malaysia, Baitulmal bukanlah suatu perkara yang baru lahir, malah kelahirannya sama dengan kelahiran Islam. Baitulmal juga bukan sesuatu yang baru hendak diwujudkan tetapi ianya sudah lama bertapak di Malaysia ini, baik dalam bentuk undang-undang atau dalam bentuk perlaksanaannya. Apa yang menjadi masalahnya ialah undang-undang dan pelaksanaannya itu disempitkan pentafsirannya sehingga menyebabkan pemahaman masyarakat umum tentang hakikat sebenar Baitulmal masih lagi tidak begitu jelas kabur, walaupun lebih suku abad perkara ini dilaksanakan.
Ini menyebabkan fungsi dan peranannya agak terbatas dan tidak meluas dalam konteks membangunkan sumber-sumber hartanya bagi memperbaiki taraf hidup umat Islam secara keseluruhannya dalam konteks pembangunan negara. Keadaan ini berlaku kerana polisi dan dasar perkembangan Baitulmal tidak terlepas dari pengawasan oleh sistem pentadbiran yang lebih besar dan berkuasa.
Penubuhan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) adalah bertepatan dengan Islam dan secara umumnya ia sebagai model yang wujud di zaman keagungan Islam yang dahulu. Walaupun penubuhan Baitulmal ini tidak sepenuhnya berfungsi dan berperanan seperti zaman kegemilangan institusi Baitulmal suatu ketika dahulu, namun terdapat pelbagai usaha-usaha yang dilakukan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam bagi memenuhi tuntutan yang dikehendaki dalam Islam.
Oleh itu, kajian dan analisis sumbangan yang dilakukan oleh Tabung Baitulmal Sarawak terhadap kebajikan sosial masyarakat Islam di negeri Sarawak perlu dilakukan bagi mendedahkan dan membuktikan sejauh mana sumbangan yang telah mereka berikan. Di samping itu, kajian juga untuk mengetahui cara dan bagaimana institusi ini mengagihkan dan menggunakan sumber-sumber hartanya bertepatan dengan kehendak syarak dan mampu mengukuhkan kedudukan masyarakat Islam yang berada di negeri Sarawak.
Adalah diharapkan agar kajian ini dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan dan dapat mengatasi masalah kekaburan dan ketandusan maklumat mengenai institusi Baitulmal, sehingga terkikis anggapan bahawa Baitulmal adalah suatu jabatan yang sekadar untuk urusan zakat sahaja.
MATLAMAT KAJIAN
Matlamat kajian merupakan matlamat umum sesebuah kajian yang hendak dijalankan. Oleh yang demikian itu, matlamat kajian adalah bertujuan untuk menganalisis sumbangan yang dijalankan oleh Tabung Baitulmal Sarawak terhadap kebajikan sosial masyarakat Islam di Sarawak dan meninjau program-program yang dijalankan oleh institusi berkenaan dalam usaha memperbaiki dan meninggikan taraf hidup masyarakat Islam di negeri Sarawak.
OBJEKTIF KAJIAN
Menurut sejarah, sejak zaman Rasulullah s.a.w, Khulafa’ al-Rasyidin, dan kerajaan selepasnya seperti zaman cAbbasiyyah dan cUmaiyyah, peranan yang dimainkan oleh Baitulmal amat jelas terutama dalam membantu golongan fakir miskin dan perbelanjaan bagi mengurus negara sehingga dikatakan Baitulmal dikatakan hampir kosong kerana segala hasil kutipan zakat dan hasil-hasil lain diagihkan sepenuhnya kepada mereka yang layak menerimanya. Ini bererti fungsi Baitulmal dijalankan sebaiknya.
Namun pada masa kini, mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai peranan yang sebenar dimainkan oleh Baitulmal, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan terutamanya fakir miskin bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka. Oleh yang demikian itu, penulis cenderung memilih tajuk ini untuk menjelaskan secara terperinci mengenai peranan sebenar yang dimainkan oleh Baitulmal pada masa kini dengan menggariskan beberapa objektif tertentu iaitu:
1) Mengenal pasti mengenai konsep dan fungsi Baitulmal dalam Islam dengan lebih jelas.
2) Menjelaskan latar belakang organisasi pentadbiran Tabung Baitulmal Sarawak dan sejarah penubuhannya.
3) Menganalisis sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak terhadap kebajikan sosial masyarakat Islam di Sarawak.
4) Untuk mengkaji operasi-operasi, program-program serta sumbangan yang dihulurkan oleh TBS terhadap sumber-sumber hartanya dalam usaha meningkatkan kebajikan sosial masyarakat Islam di Sarawak.
5) Menilai sejauh mana program-program dana bantuan–bantuan yang dihulurkan oleh TBS berjalan dengan lancar dan dapat meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan kebajikan masyarakat Islam di Sarawak.
6) Untuk menganalisis adakah TBS mampu untuk menonjolkan diri di dalam menjana kebajikan masyarakat Islam berbanding dengan agensi-agensi lain di samping memberikan beberapa saranan atau cadangan terhadap hasil kajian yang dijalankan.
7) Untuk menjelaskan kepada pihak-pihak tertentu tentang objektif dan peranan sebenar Baitulmal dari sudut pengagihan peruntukan harta di dalamnya kepada golongan-golongan yang berhak menerimanya terutamanya di Sarawak.
LIMITASI KAJIAN
Dalam menjalankan kajian mengenai tajuk ini, penulis telah menggariskan skop atau bidang kajian tertentu supaya ia tidak terkeluar dari garis panduan yang telah ditetapkan dan lebih terfokus kepada tajuk yang telah ditetapkan.
Melihat kepada tajuk ini, ruang lingkup kajian hanya merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan Baitulmal khususnya terhadap pengagihan harta-hartanya yang diperolehi dan program-program yang telah dilaksanakan.
Penulis telah menyempitkan skop kajian ini dengan hanya menumpukan kajian kepada organisasi Tabung Baitulmal Sarawak sebagai fokus utama untuk meninjau peranan dan fungsi yang dimainkan oleh institusi ini.
Pengkajian ini juga memfokuskan kepada usaha-usaha dan program-program yang telah dijalankan oleh TBS terhadap harta-harta Baitulmal untuk meninggikan taraf hidup masyarakat Islam di Sarawak di samping meninjau apakah bentuk-bentuk bantuan dan projek-projek pembangunan yang dijalankan serta disalurkan dan adakah ia berjaya mencapai hala tuju dan matlamatnya.
METODOLOGI KAJIAN
Metodologi kajian amat penting dalam membuat penyelidikan kajian ilmiah bagi mencari dan mengumpulkan data-data dan maklumat tertentu serta menganalisis data-data dengan lebih tepat, konkrit dan berautoriti. Oleh itu, dalam membuat kajian mengenai tajuk ini, penulis telah menentukan beberapa kaedah dan metod pengumpulan data-data antaranya ialah:
- Kajian Perpustakaan
Melalui metod ini, penulis membuat rujukan kepada bahan-bahan bertulis seperti buku-buku, kitab-kitab, artikel-artikel, beberapa kumpulan kertas kerja, majalah, risalah dan sebagainya. Antara perpustakaan yang terlibat dalam penyelidikan ini ialah Perpustakaan Tun Sri Lanang, Perpustakaan Negara, PATMA, Perpustakaan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Perpustakaan Bandar raya Kuching, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuching dan lain-lain lagi. Metod ini amat penting kerana segala maklumat dan data-data tersebut dijadikan rujukan dan panduan kepada penulis untuk menyiapkan penulisan kajian ini.
- Metod Temubual
Metod ini digunakan dalam usaha mendapatkan maklumat secara lisan dari pihak Tabung Baitulmal Sarawak dan individu-individu yang terlibat yang dirasakan perlu dan memenuhi tuntutan dan tujuan kajian ini. Kaedah ini digunakan oleh penulis bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas lagi terutamanya mengenai struktur organisasi TBS dan program-program serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.
Penulis telah mengadakan beberapa sesi temu bual dengan pegawai Tabung Baitulmal Sarawak yang terlibat secara langsung dengan urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi tersebut. Temu bual juga dilakukan dengan cara tidak langsung iaitu dengan melalui telefon. Hasil dari temu bual tersebut, penulis telah mendapat banyak maklumat dalam merealisasikan kajian ini.
- Metod Dokumentasi
Metod Dokumentasi merupakan cara pengumpulan data dengan melakukan kajian-kajian terhadap dokumen-dokumen yang ada hubungan dengan tajuk yang dikaji. Terdapat beberapa dokumen yang menjadi bahan rujukan penulis ialah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis, artikel-artikel dari majalah dan akhbar yang berkaitan dengan konsep Baitulmal dan fungsinya di dalam Islam.
Penulis juga memperolehi fakta-fakta dengan berpandukan kepada risalah-risalah dari TBS dan artikel-artikel yang dikeluarkan oleh pihak tersebut. Berdasarkan kepada laporan dan risalah tersebut, penulis telah mengumpulkan kesemua maklumat dan perangkaan mengenai urusan pentadbiran TBS, kutipan dan agihan harta Baitulmal serta data-data yang berkaitan dengannya.
- Metod Historis
Metod ini bermaksud satu proses untuk menentukan adanya pendapat yang tepat mengenai sesuatu kajian atau fakta. Penulis telah menggunakan metod ini untuk mendapatkan data sebenar tentang sejarah penubuhan Baitulmal khususnya di zaman Rasulullah, Khulafa al-Rasyidin dan selepas zaman Khulafa’ al-Rasyidin dan sumber-sumber pendapatan dan agihan wujud pada ketika itu. Ianya penting bagi penulis agar segala maklumat dan fakta yang dijelaskan adalah tepat dan benar.
ULASAN KEPUSTAKAAN
Terdapat banyak kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan terhadap institusi Baitulmal sama ada dalam buku-buku, akhbar, majalah juga di dalam tulisan ilmiah. Antaranya ialah latihan ilmiah yang ditulis oleh Norrazah binti Abbas (1998) yang bertajuk Pengurusan Baitulmal Sarawak: Satu Tinjauan Umum Dari Perspektif Islam. Kajian dan perbincangan lebih menumpukan sumber kewangan dan agihan Baitulmal Sarawak yang ditinjau umum dari sudut perspektif Islam. Di samping itu kajian ini juga memberikan penilaian dari sudut perspektif Islam dan memberikan saranan bagi mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh Baitulmal Sarawak.
Selain daripada itu, terdapat juga penulisan hasil kerja Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak iaitu Abg. Mohd. Shibli bin Abg. Mohd Naillie (2000) yang telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Cara Pengagihan Beberapa Buah Negeri: Pengalaman Negeri Sarawak dalam satu Seminar Kebangsaan Kaedah Pengagihan Dana Zakat: Satu Perspektif Islam. Kertas kerja ini membentangkan pengalaman Tabung Baitulmal Sarawak berhubung cara pengagihan dana zakat dengan membincangkan program-program yang dilaksanakan serta menyentuh cabaran yang dihadapi oleh pihak TBS.
Dalam latihan yang lalu juga, tidak kurang banyaknya dari penulis-penulis yang menyentuh persoalan Baitulmal ini. Antaranya ialah Rozina binti Hamdi (2003) juga telah membuat tulisan ilmiah yang bertajuk Pengagihan Zakat di Tabung Baitulmal Sarawak. Kajian membincangkan konsep agihan zakat dalam Islam secara menyeluruh. Selain itu, kajian ini juga lebih memfokuskan kepada dasar dan peranan pengagihan zakat di Tabung Baitulmal Sarawak dalam menggunakan dana zakatnya terhadap masyarakat Islam di negeri tersebut.
Seterusnya, satu lagi tulisan ilmiah yang ditulis oleh Aswod bin Osen (2004) yang bertajuk Institusi Baitulmal Sarawak: Sejarah dan Undang-undang. Walau bagaimanapun, perbincangan di sini lebih tertumpu kepada sejarah dan undang-undang yang berkaitan dengan TBS sejak mula ditubuhkan sehingga undang-undang yang di amalkan pada masa kini oleh pihak TBS.
Oleh yang demikian itu, di sini penulis akan membincangkan sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak terhadap kebajikan sosial khususnya kepada masyarakat Islam di negeri Sarawak. Setelah diselidiki, didapati tulisan-tulisan sebelum ini tidak lagi menyentuh secara khusus sumbangan yang telah diberikan oleh TBS terhadap masyarakat Islam di negeri Sarawak. Seterusnya penulis cuba membicarakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan terhadap kebajikan sosial masyarakat Islam dan kesannya secara umum.
MASALAH KAJIAN
Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh penulis dalam menyiapkan projek latihan ilmiah ini. Antaranya ialah:
- Masalah dalam mendapatkan sesetengah data dari pihak TBS dan sesetengah data yang diperolehi juga merupakan bahan-bahan mentah yang terpaksa disusun dan dianalisis dengan sebaiknya oleh penulis.
- Kekangan masa yang dihadapi oleh penulis kerana terpaksa membahagikan masa bagi menyiapkan latihan ilmiah ini sedikit sebanyak mengganggu kelancaran kajian ini.